Wednesday, March 24, 2010

B. Apakah makna Sifat Dua Puluh ?

Sifat Dua Puluh adalah kumpulan sifat-sifat Allah yang berjumlah dua puluh sifat yang disusun oleh para
ulama dengan sangat rapi, teratur dan berurutan sehingga memudahkan kita dalam mengenal Allah
(Ma’rifatullah). Oleh kerana sifat-sifat yang disusun tersebut berjumlah dua puluh maka disebutlah Sifat
Dua Puluh.

Memanglah perkataan Sifat Dua Puluh tidak ada didalam Al-Quran ataupun didalam Hadith, tetapi
bukan bererti ia adalah perkara baru yang diada-adakan (bid’ah), hal itu kerana Sifat Dua Puluh tersebut
disusun berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan Sunnah-sunnah Rasulullah.

Perkataan Sifat Dua Puluh adalah sebuah istilah sama seperti istilah-istilah yang lainnya, seperti istilah
Rukun Islam yang lima, Rukun Iman yang enam, Rukun Sholat yang tiga belas dan lain sebagainya. Maka
tidak ada salahnya seseorang itu untuk mengenal Allah melalui sifat-sifat yang berjumlah dua puluh itu.

Adakah Allah hanya memiliki dua puluh sifat sahaja ? Tidak, Allah memiliki banyak sifat, namun para
ulama telah berijtihad bahawa sifat-sifat Allah yang banyak itu apabila disederhanakan dan disusun
sedemikian rupa untuk mudah dipelajari dan difahami maka ia akan tersusun menjadi dua puluh sifat.
Jadi, Sifat Dua Puluh adalah sifat-sifat yang menerangkan tentang Zat Allah Subhanahu wata’ala Yang
Maha Sempurna lagi Maha Agong.